Petikan daripada Buletin Al Falah 3

Alhamdulillah, untuk kali ketiga, Buletin Al Falah dapat diusahakan dengan jayanya dengan memuatkan beberapa aktiviti dan maklumat penting yang memerlukan perhatian dan tindakan yang sewajarnya daripada muslimin dan muslimat yang dirahmati.

Surau Al Falah akan menubuhkan Koperasi Al Falah, Kelab Remaja Al Falah dan Khairat Kematian. Semua ini memerlukan sokongan dan dokongan daripada semua penduduk bagi memakmurkan surau dan warga Islam Seksyen 8 Kota Puteri.

Dengan penubuhan ketiga-tiga perkara ini, sekaligus bakal memberikan kemudahan dan
kebajikan kepada ahli-ahli, terutamanya dalam urusan kenduri-kendara, urusan kematian, dan juga dalam isu-isu remaja bagi mengelakkan mereka menyimpang daripada landasan sebenar.

Sebagai permulaan, penubuhan Koperasi Al Falah akan mengenakan yuran bagi setiap
keluarga (satu rumah) sebanyak RM10 sebulan. Kutipan yuran akan digunakan untuk membeli peralatan, khemah, kerusi, meja, pinggan mangkuk dan lain-lain peralatan memasak.

Begitu juga dengan penubuhan Khairat Kematian, yuran yang dikenakan bagi setiap
ahli keluarga sebanyak RM15 termasuk pendaftaran. Manakala yuran setahun pula ialah
sebanyak RM10 bagi membolehkan pengurusan jenazah berjalan dengan sempurna dan baik.

Saya menyeru kepada semua warga Islam Seksyen 8 Kota Puteri agar memberikan
sokongan padu bagi menjayakan misi yang murni ini sebagai salah satu amal jariah kita, yang pahalanya sudah pasti akan kekal berpanjangan hingga ke akhirat kelak.

Jadikanlah Surau Al Falah ini sebagai model dan wadah untuk kita menyumbang idea dan
tenaga, serta menjalin ukhuwah sesama kita hanya semata-mata kerana Allah SWT.

Mudah-mudahan segala usaha baik yang kita rancang dan yang kita atur ini akan sentiasa dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT.

Ustaz Ahmad Muhammad
Pengerusi Surau Al Falah

[More]
Pada penghujung Ogos baru-baru ini telah berakhirlah program Kuliah Kerja Nyata (KKN @ Baktisiswa) buat para daei' muda seramai 12 orang daripada Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara, di Kota Puteri Seksyen 8.

Majlis tersebut turut disertai oleh YB (Parlimen) Kuala Selangor, Dr Zulkefli Ahmad.




Senarai nama siswa-siswi terlibat adalah seperti berikut:

  1. Mohd Azian Mat Isa

  2. Ammar Nadzir

  3. Che Mohd Faddzill Che Rahim

  4. Mohd Habibullah Mohd Jidin

  5. Iqmal Hakim Mohd Anuar

  6. Ahmad Waqei Ramli

  7. Mohd Fadzil Hadi Ghazali

  8. Mohd Faris Omar

  9. Mohd Ismienazie Ismail

  10. Arfah Solehah Bt Yusof

  11. Rabiatul Adawiyah Bt Che Husin

  12. Noor Shakirah Bt Shuhaibi



Program yang bermula pada 31 Julai – 7 Ogos itu bertujuan melahirkan para da’ie yang mampu berhadapan dengan cabaran dan memenuhi keperluan masyarakat terutamanya dalam bidang keagamaan dan sosial.

Pelbagai tugasan dan kerja sosial telah dijayakan oleh peserta yang terlibat, antaranya mengimarahkan Surau Al Falah dengan solat berjemaah, mengadakan kuliah dan tazkirah selepas solat, mengadakan kelas tuisyen agama, akademi dan motivasi untuk para remaja, bergotong-royong membersih kawasan surau dan menghias bangunan surau, mengadakan aktiviti riadah bersama para remaja dan sebagainya.

Program tersebut diselia oleh Tuan Haji Ahmad Rafie bin Yob dengan kerjasama AJK surau Al Falah Seksyen 8, Kota Puteri.
[More]
Manusia ataupun insan; mudah lupa.

Lupa dan lalai itu adalah fitrah kepada kejadiannya. Memang demikian ciri yang Allah SWT lekatkan pada setiap individu yang lahir daripada nasab Adam dan Hawa.

Maha Suci Allah daripada bersifat lemah dan tidak mampu. Hakikatnya, ciri negatif lupa dan lalai yang ada pada diri manusia itu bukanlah kerana ketidakupayaan Allah untuk menjadikan manusia yang super perfect.


Hikmahnya kekurangan itu, pertamanya adalah untuk mengingatkan diri mereka sendiri bahawa mereka lemah. Mereka bukan supermen yang super-perfect dengan super-memory.

Justeru, hikmah keduanya, tatkala mereka akur akan kelemahan yang ada pada diri mereka itu, rasionalnya maka akan terbit rasa ingin kepada 'diingatkan' dan 'mengingatkan' di dalam setiap diri manusia.

Memahami keperluan itulah, maka surau Al Falah Seksyen 8 Kota Puteri, menerusi usaha pengerusinga Ustaz Ahmad Mohamad, tidak pernah jemu dan putus asa dalam merancang dan menganjurkan program-program tazkirah.



Antara tokoh daei' yang berkesempatan mengimarahkan aktiviti tazkirah di Al Falah baru-baru ini ialah YB (Parlimen) Kuala Selangor, Dr Zulkefli Ahmad.

Majlis tazkirah tersebut berlangsung bersempena dengan tamatnya program Kerja Kursus Nyata (Baktisiswa) Siswa dan Siswi Institusi Agama Islam Negeri Sumatera Utara yang berlangsung selama sekitar 10 hari di Kota Puteri Seksyen 8.

Antara lainnya beliau mengingatkan para siswa-siswi terlibat agar semua agar tetap teguh dengan Islam serta ajarannya dan tidak lalai daripada tanggungjawab mereka menyebarkan ilmu dan berbakti kepada masyarakat walau di mana mereka berada nanti, selepas tamat pengajian.

[More]
Fizikal yang sihat menjadi asas penting untuk minda dan rohani yang cerdas. Setiap anak adam dan hawa yang berakal pastinya faham bahawa antara kunci penting kepada pintu gedung kesihatan jasmani itu adalah menerusi kegiatan riadah dan rekreasi.

Pun begitu, ia perlu berlaku tanpa melupakan soal adab dan batas aurat. Ia juga perlu berlangsung dalam lingkungan tempoh waktu yang tidak melampaui waktu dan tempoh yang sepatutnya dikhususkan untuk Allah SWT.


Dalam pada itu ia juga menjadi wadah kepada kewujudan proses interaksi sosial yang positif dan bermanfaat sesama anggota sesebuah jamaah dan komuniti.

Melihatnya daripada perspektif sedemikianlah maka ia seringkali menjadi aktiviti utama yang sering dianjurkan dalam sebarang aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

Kesempatan tersebut telah diambil oleh para peserta Kuliah Kerja Nyata (Baktisiswa) Institusi Agama Negeri Sumatera Utara, di sepanjang tempoh kehadiran mereka di Seksyen 8.

Setiap petang, bersama para adik-adik 'sementara' mereka di Seksyen 8, acara santai dan riadah dilangsungkan di taman permainan berhampiran surau Al Falah.



Sedikit sebanyak ia membimbing para remaja yang menyertainya bahawa riadah yang sihat dalam erti kata sebenar untuk jasmani dan rohani adalah riadah yang disadur dengan nilai iman dan takwa.

Semoga apa yang ingin cuba diterapkan oleh para daei' muda Institusi Agama Negeri Sumatera Utara itu diberkati dan ada impaknya di dalam jiwa para remaja Kota Puteri Seksyen 8.

[More]
Sebagai salah satu daripada keperluan pengisian untuk Program Kerja Nyata (Baktisiswa) yang mereka sertai, sekumpulan 12 siswa dan siswi daripada Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara telah mengendalikan satu bengkel motivasi jati diri khas buat para remaja di Kota Puteri Seksyen 8.




Dalam pada program tersebut menguji keupayaan dan kemahiran komunikasi mereka sebagai da'ei, ia turut menjana manfaat yang positif di kalangan para remaja Seksyen 8 yang menyertainya.

Menerusi program tersebut, dengan berteraskan isi ilmu yang telah mereka perolehi, para siswa dan siswi terlibat berkongsi pengalaman dengan para adik baru mereka di Seksyen 8 tentang matlamat hidup dan fungsi menggunakan masa remaja yang ada untuk mempastikan matlamat itu tidak gagal.

Kehadiran mereka bukan setakat sebagai fasilitator, malah juga sebagai model-acuan (role model, yang sedikit sebanyak pastinya membangunkan keinginan positif para remaja Seksyen 8 untuk menjadi lebih berhati-hati dan bijak dalam mengharungi persekitaran sosial mereka yang semakin hari semakin mencabar.

Semoga program-program sebegini akan dapat diteruskan dari masa ke semasa di Kota Puteri Seksyen 8. Ia sepatutnya diberikan sambutan yang positif di kalangan ibu-bapa dan penjaga yang mempunyai remaja di bawah tanggungjawab mereka.

Program yang julung kali di adakan di Kota Puteri Seksyen 8 ini adalah di bawah seliaan Tuan Haji Ahmad Rafie bin Yob.
[More]
Dalam kuliah bulanan yang berlangsung di Al-Falah baru-baru ini, penceramah jemputan, Imam Besar, Masjid Kuala Selangor, Al Fadzil Ustaz Asraf bin Suarin, telah mengingatkan para muslimin dan muslimat tentang Ramadhan 1430H yang bakal menjelang tidak lama lagi.


Betapa semua kita perlu bersedia dengan sebaik mungkin; umpamakan ia adalah Ramadhan terakhir yang bakal kita lalui.



Dalam ceramah yang berkisar kepada soal kedatangan bulan Ramadhan dan persediaan menghadapinya itu, beliau mengingatkan para jemaah supaya sungguh-sungguh bertaubat dan membersihkan hati serta jiwa, supaya ibadah puasa yang bakal dilaksanakan nanti berkat hasilnya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan supaya banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan anak yatim. Lebih elok lagi kalau aktiviti bersedekah itu dapat dipanjangkan lagi di bulan-bulan lain, tidak semata-mata ketika Ramadhan sahaja.

Sesungguhnya rezeki yang kita perolehi itu sebahagiannya harus digunakan ke jalan Allah, katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan para muslimin dan muslimat akan soal aurat dan penjagaannya, yang dewasa ini makin rosak dan cacat perlaksanaanya di kalangan muslim.

Tiada ertinya menutup aurat sedang hakikatnya pakaian yang dipakai itu semuanya ketat dan mantap belaka,terutamanya apabila melihat cara berpakaian remaja hari ini.

Beliau mengingatkan adalah menjadi tanggungjawab para bapa, suami atau abang untuk menasihati dan menegur saudara muslimat mereka dalam hal yang amat penting ini.

Ia adalah pintu yang dianggap remeh oleh sebahagian besar pihak, tapi sebenarnya punca kepada pelbagai masalah dan enyakit sosial yang semakin kritikal di kalangan muslimin dan muslimat hari ini.
[More]
Kami bersama 12 peserta program Kuliah Kerja Nyata (bakti siswa) Institut Agama Islam Negeri Sumatera baru-baru ini (Ogos) telah berkesempatan menziarahi saudara seagama kita (Islam) yang kurang bernasib baik.

Di dapati, mereka adalah golongan yang telah dibuang oleh keluarga dan hidup sebatang kara.




Lebih menyedihkan lagi, di tengah-tengah negara yang majoriti masyarakatnya beragama Islam dan kuasa pentadbiran masih lagi di bawah pengaruh para pemimpin yang beragama Islam, nasib mereka nampaknya hanya dibela dan diberikan perhatian oleh sekumpulan pihak prihatin yang bukan daripada golongan yang beragama Islam.

Mereka di dapati tinggal di sebuah gereja merangkap community home yang dikendalikan oleh pihak gereja di sebuah tempat.

Tidaklah dapat kami pastikan bagaimana situasi sebegini boleh terjadi. Adakah maklumat tentang mereka tidak sampai ke pengetahuan pihak yang berkenaan? Allahu'alam!

Dalam ziarah yang dibuat, pihak kami sempat memberikan sedikit pesanan nasihat dan perangsang kepada kumpulan yang diuji dengan ujian yang berat itu, supaya mereka tabah dan terus bersemangat.

Kami juga sempat mendengar rayuan mereka supaya ada mana-mana pihak yang mewakili kumpulan pertubuhan Islam yang sudi membantu mereka.

Sehubungan dengan itu kami telah berusaha memanjangkan masalah yang dihadapi oleh kumpulan tersebut kepada pihak yang sepatutnya supaya membantu mereka.
[More]